
Beliau berkata, Pejuang juga tidak akan menyokong mana-mana pihak yang bertanding dalam PRN itu.
“Kita akan bertanding hanya dalam pilihan raya umum ke-15. Kita tak terlibat (PRN Sarawak),” katanya selepas melancarkan buku “Speaking of Mass Destruction… A Journey To Iraq As Seen By Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali”.
Buku itu mencatatkan perjalanan isterinya ke Iraq pada 2000 yang di bawah sekatan ketika itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN12 Sarawak, penamaan calon pada Isnin depan dan pengundian awal pada 14 Dis.
Sementara itu, Siti Hasmah berkata, buku itu berdasarkan pengalaman tiga harinya di negara yang dilanda peperangan itu, ketika orang luar sukar memasuki negara tersebut.
“Saya telah diminta oleh suami saya (Dr Mahathir), yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, untuk melawat Iraq bagi pihaknya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai situasi di negara tersebut.
“Oleh kerana ia diminta oleh beliau, saya tidak rasa risau atau takut ke sana. Dalam buku ini, anda akan belajar bagaimana negara itu alami kerosakan yang telah menjejaskan wanita dan kanak-kanak.”
Buku setebal 170 muka surat dalam bahasa Inggeris itu dijual pada harga RM120 dan hasil jualan itu akan disumbangkan kepada organisasi menguruskan kanak-kanak di negara bergolak.