
Ini susulan pengurusan kes yang dijalankan hari ini di hadapan hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata, perbicaraan kini dijadualkan pada 10, 15 dan 22 Feb dan 1, 28, 29 Mac.
Peguam mewakili Shafee, Sarah Abishegam turut hadir di kompleks mahkamah.
Peguam Hariharan Tara Singh, yang mewakili Shafee dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB Najib Razak, memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pada Selasa bahawa status MySejahtera Shafee menunjukkan warna jingga.
Hariharan berkata, Shafee menjalani pengawasan kendiri sehingga 20 Dis.
Shafee menjadi kontak rapat kepada seorang peguam yang disahkan positif Covid-19 di firma guamannya pada 6 Dis.
Perbicaraan itu sepatutnya bersambung tiga hari bermula 8 Dis selepas pendengaran terakhir pada 26 Okt.
Afzainizam kemudiannya memberitahu FMT bahawa pihak pendakwaan berhasrat memanggil dua lagi saksi – seorang pegawai bank dan pegawai penyiasat – sebelum menutup kesnya.
Shafee didakwa menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank Bhd miliknya.
Beliau didakwa menerima sekeping cek berjumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan sekeping lagi berjumlah RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.
Peguam itu turut berdepan dua lagi dakwaan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemuka penyata tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.