Kita dah hilang rasa malu amalkan rasuah, keluh Maszlee

Kita dah hilang rasa malu amalkan rasuah, keluh Maszlee

Orang tidak lagi segan silu mengambil wang, mencuri atau menerima rasuah, malah malas bekerja, kata bekas Menteri Pendidikan itu.

Masyarakat Melayu pernah ada perasaan malu, namun kini ia semakin kehilangan sifat itu, menurut Maszlee Malik.
PETALING JAYA:
Masyarakat Melayu semakin hilang rasa malu dan ini adalah punca utama berlakunya rasuah sistemik di negara ini, kata bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Menyebut amalan “sepukku” atau “hara kiri” Jepun, iaitu ritual membunuh diri bagi mengelakkan aib, Maszlee menegaskan bahawa perasaan malu adalah penting bagi warga Jepun.

Dalam budaya Cina juga wujud konsep “menjaga air muka”, tambahnya.

“Dalam masyarakat Melayu, kita pernah ada perasaan malu ini, namun kini, kita semakin kehilangannya,” katanya pada forum bertajuk “Corruption and Hypocrisy in Malay-Muslim Politics” (Rasuah dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam) semalam.

“Sekarang, kita lihat orang tidak segan silu mengambil wang, mencuri atau menerima rasuah, malah malas bekerja.

“Mereka dapat rasuah dengan menyalahgunakan kuasa atau memberi tender, menjadi kaya dalam sekelip mata. Mereka tidak rasa malu. Ini adalah sesuatu yang perlu kita perbetulkan.”

Pembahas lain pada forum itu termasuk Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Dzulkefly Ahmad daripada Amanah.

Zambry yang bersetuju dengan pandangan Maszlee berkata, walaupun nilai saling menghormati, maruah dan kerohanian suatu ketika dahulu menjadi ciri masyarakat Melayu, pembangunan pesat dan desakan kemodenan bermakna negara kini “mengejar materialisme”.

“Seperti kata Maszlee, apabila rasuah sistemik wujud, ia melibatkan semua aspek kehidupan dan mewujudkan persekitaran yang menyaksikan masyarakat tiada perasaan malu. Mereka hidup dalam kemewahan dan masa lapang,” katanya.

Maszlee juga menekankan bagaimana materialisme memainkan peranan dalam rasuah dengan menyatakan bahawa pegawai kerajaan yang meluluskan tender dan mendapat rasuah semestinya berasa malu.

“Sebaliknya, dia berasa bangga kerana boleh beli kereta besar, rumah besar,” katanya sambil menyatakan bagaimana ahli politik berasa mereka terpaksa “bersaing” dengan membeli kereta mewah, beg tangan mahal dan bercuti di destinasi eksotik.

Beliau turut menyebut kisah isteri ahli politik mempersendakan mereka yang tidak membeli beg tangan berjenama “sekurang-kurangnya dari Pavilion”.

“Perasaan malu ini, apabila hilang, akan digantikan dengan ketamakan dan sentiasa inginkan lebih.

“Jika kita mahu atasi isu rasuah dan salah guna kuasa, kita perlu hidupkan semula perasaan malu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.