
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, berkata mereka akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN tersebut.
“Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN.
“Lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin, mungkin minggu depan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Berkenaan pembahagian kerusi PN, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, berkata proses itu masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.
Berkenaan dakwaan PAS tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu sekadar khabar angin dan kebenarannya hanya diketahui pihak yang menyebarkan cerita tersebut.