Pembangkang ada cadangan konstruktif jika sidang khas Parlimen krisis global diadakan

Pembangkang ada cadangan konstruktif jika sidang khas Parlimen krisis global diadakan

Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin berkata pembangkang tidak jadikan sidang khas itu sebagai modal berpolitik.

dewan rakyat
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 28 Mac lalu memohon kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi global dan kesan kepada negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangkang tidak akan menjadikan sidang khas Parlimen sebagai modal politik, sebaliknya bersedia mengemukakan cadangan konstruktif bagi menangani kesan krisis global, kata seorang Ahli Parlimen PAS.

Menurut Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, kerajaan tidak perlu berselindung di sebalik pembangkang dalam menafikan kesukaran dihadapi ketika ini, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid pada Khamis menggesa semua pihak tidak menjadikan isu kenaikan kos akibat ketidaktentuan global sebagai modal politik.

Khairil berkata dalam menghadapi krisis global berpunca konflik di Timur Tengah itu tiada pihak termasuk pembangkang berminat menjadikannya sebagai modal politik sebaliknya mahu
memastikan dasar betul dilaksanakan.

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin.

“Jadi kerajaan wajib memanggil sidang khas Parlimen untuk dibincangkan secara tuntas oleh semua wakil rakyat supaya segala permasalahan didengari kerajaan.

“PN ada pelbagai pandangan konstruktif yang boleh diangkat untuk pertimbangan,” katanya kepada FMT sambil meminta kerajaan tidak takut mengadakan sidang terbabit.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 28 Mac lalu memohon kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi global dan kesan kepada negara.

Hamzah mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memohon pertimbangan supaya sidang khas dipanggil segera.

Permohonan itu dibuat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan sidang khas dipanggil bagi membincangkan isu penting negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.