‘Saya akan sebut Najib penjenayah setiap kali diperlukan’, kata Dr M

‘Saya akan sebut Najib penjenayah setiap kali diperlukan’, kata Dr M

Ahi Parlimen Langkawi berkata anggapan perlakuan jenayah tidak memalukan adalah bercanggah dengan nilai hidup masyarakat.

Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan sahaja seluruh negara bahkan seluruh dunia menyebut nama Najib Razak sebagai penjenayah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus menyebut Najib Razak sebagai penjenayah apabila diperlukan.

“Saya akan sebut nama Najib sebagai penjenayah setiap kali diperlukan,” katanya di Facebook.

Dalam perang mulut antara dua bekas Perdana Menteri itu, Mahathir berkata, anggapan bahawa perlakuan jenayah tidak memalukan adalah bercanggah dengan nilai hidup masyarakat dan jika tidak disangkal ia akan terus merosakkan.

Katanya, Najib tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan jenayah yang telah disabitkan ke atasnya malah tidak segan silu untuk sentiasa menonjolkan salah laku.

“Saya bukanlah seorang sahaja yang menyebut nama Najib dan kaitannya dengan jenayah. Seluruh negara, bahkan seluruh dunia menyebut nama Najib sebagai penjenayah dalam ucapan, tulisan, buku (termasuk buku adiknya), radio dan televisyen dan lain-lain media.

“Buku sejarah akan catat nama Najib supaya generasi akan datang kenal Najib sebagai penjenayah yang telah curi duit berbilion yang mahkamah telah sahkan,” katanya.

Najib sebelum ini berkata, beliau tiada masalah sekiranya Mahathir ingin terus “meratib” namanya.

Beliau berkata, sekiranya namanya terus diratib, itu lebih menguntungkan dirinya, selain rakyat akan terus “meluat” terhadap Mahathir.

“Jika dia (Mahathir) nak teruskan (meratib nama Najib), tidak apa, terpulang.

“Pada saya ia hanya sia-sia sebab lagi banyak nama saya disebut, lagi meluat (orang) dekat dia (Mahathir),” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di Facebook Umno Online.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.