Budak perempuan 3 tahun hilang ketika majlis raya ditemukan lemas

Budak perempuan 3 tahun hilang ketika majlis raya ditemukan lemas

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang semasa berada di majlis hari raya anjuran keluarganya di rumah rakit kepunyaan bapanya.

Muhammad Sukri Ali menenangkan isterinya Rita Inderawati Daud ketika melihat mayat anak mereka, Siti Nur Athhiyya Soffea, yang lemas di Sungai Bukit Rangin, Kuantan. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang semasa berada di majlis hari raya anjuran keluarganya di rumah rakit di Bukit Rangin, di sini, pada Jumaat malam, ditemukan lemas, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata mayat Siti Nur Athhiyya Soffea Mohamad Sukri, 3, ditemukan timbul lengkap berpakaian, kira-kira 1.5km dari rumah rakit berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa meliputi tiga kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat mangsa ditemukan 11.35 pagi tadi oleh pasukan bomba. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang memakai baju kurung berwarna merah dilaporkan kali terakhir dilihat bapanya pada 11.15 malam pada hari kejadian.

Sejurus itu, SAR diaktifkan dengan mengambil kira kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh dari dua rumah rakit kepunyaan bapanya, yang mempunyai jambatan kayu di bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-dua rumah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.