Kecewa tapi usaha Kelantan belum terhenti, kata timbalan MB

Kecewa tapi usaha Kelantan belum terhenti, kata timbalan MB

Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya akan memohon untuk menghadap Sultan Kelantan dalam masa terdekat bagi memaklumkan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya akan mencari jalan untuk meneruskan usaha mereka memperkasakan undang-undang syariah di negeri terbabit.
PUTRAJAYA:
Kerajaan negeri Kelantan menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid selepas membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bagi memaklumkan keputusan itu dengan segera.

Menurutnya, keputusan itu tidak akan menghentikan langkah kerajaan negeri untuk memperkasakan undang-undang syariah di negeri terbabit.

“Kita juga telah tubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung isu ini dan kita akan dapatkan alasan penghakiman bertulis kes terbabit . Kita akan teliti keputusan yang telah dibuat.

“Sudah tentu ia tidak akan berhenti di sini, kita akan cari jalan bagaimana untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Saya juga menyeru kepada semua yang menyokong kami, berdoa dan kita mengharapkan supaya jangan ada yang melakukan sesuatu di luar undang-undang,” katanya pada sidang media di pekarangan Istana Kehakiman hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berpendapat DUN mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Hakim lain bersidang terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan serta Abu Bakar Jais.

Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan cabaran perlembagaan itu pada 2022 untuk mempersoalkan kuasa DUN Kelantan meluluskan enakmen itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.