Tertukar bayi: Hospital swasta tidak ikut SOP

Tertukar bayi: Hospital swasta tidak ikut SOP

Ia berlaku akibat kelemahan dari segi pengendalian bayi semasa di wad

bayi-tukar

PETALING JAYA:
Insiden tertukar bayi yang berlaku disalah sebuah hospital swasta di Bandar Darulaman, Kedah baru-baru ini adalah kerana hospital itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, perkara itu berlaku disebabkan kelemahan daripada segi pengendalian bayi semasa di wad dan ketidakpatuhan terhadap prosedur discaj di hospital terbabit.

“Insiden tersebut tidak sewajarnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang berlesen di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Ini kerana Akta 586 dan Peraturan-peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006 telah menetapkan keperluan perundangan berkaitan pengenalan diri pesakit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihak hospital swasta terbabit sepatutnya memastikan mana-mana ibu dan bayi yang baru lahir diberikan pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain yang sesuai, yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi.

Katanya, tanda pengenalan diri itu perlu disemak terutamanya semasa apa-apa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin atau wad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.