Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu dibuktikan apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang menunjukkan reaksi positif dan berpuas hati selepas mendapat penjelasan daripada bengkel diikuti anjuran kementeriannya.
“Kita lihat mereka gembira selepas selesai sesi mendengar penjelasan mengenai TPP.
“Ada yang berjumpa saya dan berkata bengkel penerangan TPP ini adalah sesuatu yang baik kepada ahli-ahli Parlimen.
“Ini satu reaksi yang baik dan menunjukkan mereka gembira dengan penjelasan yang dibuat,” katanya menerusi sidang media di Menara MITI, di Jalan Duta, hari ini.
Menurut Mustapa, beliau telah menjawab semua soalan yang diajukan oleh ahli-ahli Parlimen khususnya dari pembangkang mengenai perkara itu.
Katanya, penjelasan itu sangat penting kerana ia dapat memberi kefahaman dan menangkis persepsi negatif terhadap TPP.
“Kita dah berjaya beri penerangan. Soal sokong atau tidak itu kita tunggu di Parlimen.
“Apa yang penting kita telah beri penjelasan dan menjawab semua soalan yang diajukan mengenai TPP,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mustapa juga berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran ahli-ahli Parlimen yang hadir ke bengkel itu terutamanya dari pihak pembangkang.
“Kita lihat ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang ramai yang hadir dalam bengkel ini,” ujarnya.
