Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat sektor tempatan belum tentu bersedia menghadapi persaingan sengit yang bakal menyusuli TPPA.
Lantaran ketidaktentuan itu, beliau bimbang sebesar mana keperluan domestik Malaysia akan diisi kemasukan impot daripada kuasa ekonomi seperti Amerika Syarikat.
“Negara akan terdedah kepada risiko persaingan yang tidak seimbang antara syarikat gergasi, khususnya dari Amerika Syarikat dan ini mewujudkan persaingan yang tidak seimbang,” tegas Tuan Ibrahim.
Mengambil nada yang berbeza daripada sebahagian pengkritik TPPA, Tuan Ibrahim mahu menyorot perhatian pembaca FMT kepada program subsidi pertanian dari negara kuasa ekonomi yang memberi kelebihan kepada eksport barangan tani mereka.
“Harga beras dijangka akan turun dengan kemasukan beras luar. Tetapi ia akan meletakkan negara kepada pergantungan bahan makanan dari luar apabila petani tempatan sudah tidak mampu lagi mengeluar beras kerana persaingan.
“Saya terfikir apakah produk yang akan kita eksport ke Amerika Syarikat selain getah dan sawit, berbanding bahan akan dibawa masuk oleh pihak luar,” katanya.
Tuan Ibrahim berpendapat masih banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk menyakinkan rakyat bahawa syarikat kecil dan sederhana dan bank tempatan mampu menyahut cabaran besar TPPA, begitu juga halnya dengan mampu milik bekalan penting seperti ubat-ubatan.
“TPPA meletakkan negara kepada risiko kenaikan kos pada ubat-ubatan, dan produk yang mempunyai paten oleh pengeluar utama. Seperti ubat kanser dan lain-lain,” keluhnya.
Beliau mengingatkan bahawa kelemahan ekonomi tempatan mengundang campurtangan ekonomi asing yang lebih kuat, dan sejarah menunjukkan campurtangan Amerika Syarikat di negara seperti Iraq, Syria dan Libya contohnya hanya memberikan masalah.
