Orang Melayu jangan jadi ‘pak sanggup’ DAP, pesan Syed Ali

Orang Melayu jangan jadi ‘pak sanggup’ DAP, pesan Syed Ali

Ketua UMNO Cheras kecam orang Melayu sertai DAP dan mendakwa mereka 'kemaruk' mahu menjadi wakil rakyat.

syed-ali
PETALING JAYA: Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan orang Melayu yang ingin menceburi politik supaya tidak menjadi pak sanggup DAP dan memecahkan undi Melayu.

Katanya, golongan berkenaan terlalu ‘kemaruk’ menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sehingga mengenepikan usaha memastikan perpaduan Melayu.

Beliau mendakwa, DAP akan meletakkan calon Melayu di beberapa kerusi Parlimen pada PRU akan datang untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa parti itu tidak bersifat perkauman.

“Saya harap mana-mana pemimpin Melayu yang gila mahu jadi wakil rakyat tidak mudah memasuki perangkap DAP kerana mereka sekadar dijadikan alat memecahbelahkan orang Melayu,” katanya menerusi blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my/.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, beliau keliru melihat segelintir orang Melayu yang sanggup menyertai parti itu sedangkan parti itu terbukti hanya memperjuangkan kepentingan politik satu kaum sahaja.

“Orang sebegini barangkali hanya memikirkan laba politik dan gila untuk diangkat sebagai wakil rakyat sehingga sanggup menjual harga diri dan maruah bangsa Melayu,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.