Adakah mahasiswa kita kelaparan?

Adakah mahasiswa kita kelaparan?

Saudari Hani memperuntukkan RM4 untuk perbelanjaan makanan seharian dan hanya makan sekali sehari.

mahasiswa
Oleh Malaysian Progressives United Kingdom

Baru-baru ini sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) telah mengeluarkan hasil kaji selidik mereka bertajuk “Mahasiswa & Cabaran Ekonomi”. Mereka mendapati bahawa hakikatnya, mahasiswa menghadapi kesukaran menampung kos sara hidup yang tinggi, terutamanya mereka yang menuntut di sekitar Lembah Klang.

Infografik dari Laman Facebook MVM

infografik

Apakah purata pendapatan seorang mahasiswa?

Sebuah kajian mendapati mahasiswa di sebuah cawangan UiTM berpendapatan antara RM100 hingga RM2000 sebulan dan secara purata, pendapatan mereka adalah sebanyak RM530.30 sebulan. Angka ini merupakan indikator pendapatan purata mahasiswa di kawasan bandar.

Secara umum, selain membayar yuran, seorang pelajar perlu menggunakan pendapatan mereka untuk kos penginapan, utiliti, pengangkutan, makan, dan pembelian barang harian. Kos menyara hidup ini tidak termasuk kos berkaitan pembelajaran seperti kos pembelian buku, alat tulis dan kos fotokopi. Selain itu, seorang mahasiswa juga berbelanja untuk kos hiburan (seperti menonton wayang, dan bermain futsal) dan kos perkhidmatan (seperti menggunting rambut atau kos dobi), dan juga tambang pulang ke kampung.

Walaupun mempunyai pilihan untuk melakukan kerja sambilan, tidak ramai mahasiswa mampu mengorbankan masa dan tenaga untuk bekerja, lebih-lebih lagi di musim peperiksaan. Tambahan pula, jika seseorang mahasiswa itu bekerja, dia hanya mendapat gaji yang rendah berbanding seorang graduan, dan juga terpaksa menampung kos pengangkutan untuk ke tempat kerja dan oleh sebab tidak merasakan pengorbanan ini berbaloi, mungkin ramai mahasiswa rela berlapar.

Kenyataan menteri yang tidak sensitif keadaan rakyat

Mengulas isu mahasiswa kelaparan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, tidak mungkin mahasiswa kelaparan, bahkan golongan gelandangan juga mempunyai sumber makanan. Tanpa menafikan kemungkinan ada segelintir mahasiswa mungkin menghadapi kesempitan hidup, beliau menyarankan jika seseorang mahasiswa memang kelaparan, dia tidak sewajarnya berdiam diri.

Beliau dikecam kerana kenyataannya itu. Fahmi Zainol, seorang bekas pimpinan pelajar Universiti Malaya berkata kenyataan Khairy itu tidak sensitif kerana beliau lansung tidak pernah melalui kesusahan ketika zamannya di universiti. Beberapa mahasiswa lain juga telah menulis surat terbuka kepada Khairy seperti Jufazli dan tidak kurang ramai juga mereka yang membantah kenyataan Khairy di laman media sosial seperti Facebook dan Twitter. Tidak kurang juga yang mengatakan mahasiswa tidak sepatutnya merungut, dan patut menangani masalah ini secara “matang” dan belajar berdikari.

Sejak sekian lama, menteri-menteri kita menerima banyak kritikan di Twitter oleh sebab kenyataan yang mereka keluarkan yang dilihat kurang sensitif. Contohnya, Datuk Ahmad Maslan menyarankan kempen #2Kerja, untuk mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi, dan Dato’ Abdul Rahman Dahlan yang dilaporkan menyuruh rakyat “bangun awal” untuk mengelakkan jalan bertol jika tidak mampu membayar harga tol yang meningkat. Mereka kemudiannya memberi kenyataan yang mereka sebenarnya telah disalah fahami kerana kenyataan mereka diambil luar konteks dan di’putar’ oleh media.

Testimoni Pelajar

MPUK prihatin akan masalah #mahasiswalapar dan telah menemu bual beberapa orang pelajar berkenaan isu ini. Kami mendapati, keadaan mahasiswa banyak bergantung kepada lokasi mereka dan sama ada mereka mendapat tajaan untuk melanjutkan pelajaran.

  1. Syuhada, pelajar UiTM Kelantan di bawah pinjaman PTPTN berpendapat bahawa isu ini banyak bergantung pada lokasi individu tersebut. Menurut saudari Syuhada, dia tidak menghadapi masalah kerana UiTM mempunyai yuran pengajian yang murah jika dibandingkan dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang lain, dan kos sara hidup di Kelantan juga tidak tinggi berbanding kos sara hidup di kawasan Lembah Klang.
  2. Hani, pelajar di UPM mengalami perkara yang sebaliknya. Di bawah tajaan biasiswa, saudari Hani menerima sebanyak RM3500 setiap semester untuk menanggung semua bayaran termasuk yuran, sewa kolej kediaman, dan perbelanjaan pelbagai yang dikenakan pihak universiti. Saudari Hani tidak lagi ditanggung ibu bapanya, oleh itu baki wang tersebut juga digunakan untuk perbelanjaan sendiri seperti barang kelengkapan peribadi, tambang pulang ke kampung halaman dan terutamanya perbelanjaan makanan seharian. Disebabkan ini, saudari Hani memperuntukkan RM4 untuk perbelanjaan makanan seharian dan hanya makan sekali sehari. Menurutnya “Kalau lapar sangat, aku makan dua kali sehari. Tapi itu pun jarang”.
  3. Liyana, pelajar tajaan JPA menyatakan rasa bersyukur kerana elaun yang diberikan oleh JPA bukan sekadar mencukupi, malah terdapat juga lebihan wang yang dapat ditabung dan sekali sekala digunakan untuk membeli-belah dan mencuba makanan yang enak di restoran. Namun begitu, saudari Liyana juga menyatakan perbezaan antara keadaan kewangan para mahasiswa yang menerima biasiswa JPA dan juga PTPTN. Saudari Liyana berkata, jika dibandingkan dengan wang belanja pelajar yang menerima pinjaman PTPTN, wang belanja biasiswa JPA lebih daripada mencukupi.
  4. Shafiqah, mahasiswa yang kini berada di Sarawak menzahirkan kerisauan kerana kos sara hidup yang tinggi di Malaysia Timur. Menurutnya, ramai mahasiswa mengambil inisiatif sendiri dan bekerja di warung atau restoran demi menyara kehidupan mahupun jadual belajar yang padat. Lebih-lebih lagi, saudari Shafiqah bercerita tentang mahasiswa yang terpaksa bekerja di kilang demi menanggung yuran kolej.

Kesimpulan

Ternyata bahawa isu ini mendatangkan impak yang negatif terhadap sebahagian mahasiswa dan perlu diberi perhatian kerana ia berkaitan dengan keperluan asas kehidupan seseorang individu. Solusi yang perlu dituju sebaiknya hendaklah mampan, dan mendatangkan faedah sosial kepada pihak yang terlibat. Program seperti Rancangan Makanan Tambahan(RMT) di peringkat sekolah dapat dicontohi, dan penyediaan makanan kos rendah di kawasan kolej oleh pihak universiti seharusnya dipertimbangkan. Selain itu, kenaikan harga barang yang kerap turut menyumbang kepada kesempitan kewangan yang dihadapi bukan sekadar oleh para mahasiswa tetapi juga keseluruhan rakyat Malaysia. Perbuatan menuding jari tidak dapat mengubah keadaan ini, dan tindakan perlu diambil secara proaktif oleh semua pihak untuk memastikan keperluan rakyat dari semua golongan dipenuhi.

Malaysian Progressives United Kingdom merupakan badan bukan kerajaan yang berpengkalan di London.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.