Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, bandar sukan JDT akan dibina hasil daripada dana yang disumbangkan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Projek itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 70 ekar menjadi pusat sukan dilengkapi dengan semua jenis sukan di bawah nama JDT.
“Hari ini, ada berita gembira untuk dikongsikan kepada para penyokong JDT. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Johor memberi perkenan mengurniakan dana untuk pembiayaan stadium baru dan juga 70 ekar tanah pemberian kerajaan negeri untuk dijadikan Bandar Sukan JDT (JDT Sports City).
“Ianya akan menjadi pusat sukan di mana akan adanya tempat untuk semua jenis sukan di bawah nama JDT dan juga kemudahan-kemudahan lain seperti Hotel JDT, Apartment JDT dan Pusat Membeli-belah JDT,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.
Tambah Ismail lagi, misi dan visi pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampak semakin cerah dengan pelbagai kejayaan yang diperolehinya.
“Dan kini, fahamlah saya apa yang dimaksudkan oleh Tunku Mahkota Johor berkenaan ‘JDT Sudah 50 Langkah Kehadapan’ “.
“Meskipun ramai yang mengkritik dan mempersendakan apa yang cuba disampaikan oleh baginda, misi dan visi yang diilhamkannya kini telah menunjukkan hasil dengan pelbagai kejayaan yang diraih serta prasarana dan fasiliti yang telah dibangunkan untuk JDT,” katanya.
