Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara itu perlu dihormati oleh semua pihak.
“Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.
“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk mahkamah.
“Dalam erti kata lain, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengerang berkata, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara itu setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar patuh kepada keputusan itu.
