EXCO negeri daripada UMNO Kedah ‘kunci mulut’

EXCO negeri daripada UMNO Kedah ‘kunci mulut’

Mereka tidak mahu mengulas mengenai kemelut politik yang berlaku dengan mengambil langkah membisu.

umno-kedah
ALOR SETAR: Rakyat di negeri ini terus berteka teki dalam mencari jawapan mengenai kemelut politik yang berlaku sejak seminggu lalu.

Sehingga hari ini, pergolakan politik di Kedah menjadi bualan penting dalam kalangan penduduk, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Mereka tertanya tentang kesudahan konflik yang berlaku itu dan berteka-teki sama ada kesudahannya akan membawa kepada penyelesaian yang baik.

Di saat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum membuat sebarang keputusan dan pengumuman sama ada mahu mengekalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar atau sebaliknya, rata-rata pemimpin UMNO Kedah dilihat mengunci mulut masing-masing daripada bercakap mengenainya.

Mereka terus berdiam diri dan situasi itu telah berlarutan sejak mereka mengadakan pertemuan dengan Najib sebelum ini.

Situasi sama berlaku di Istana Anak Bukit, di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai kemelut politik di Kedah, semua EXCO negeri daripada UMNO Kedah tidak mahu menjawab.

Mereka memilih untuk menjawab ‘tak mahu komen’.

Ada juga beberapa EXCO negeri yang memilih melarikan diri daripada pemberita dengan menjawab soalan dalam bentuk gurauan.

Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

“Perdana Menteri suruh saya cakap Siam,” katanya sambil menyebut beberapa perkataan Siam kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran kepada 116 penerima sempena hari keputeraan Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah di Istana Anak Bukit.

Sebelum ini, mereka yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media apabila mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Mukhriz dan mendesak beliau meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.