PAC kesal Peguam Negara Switzerland terbuka kepada media

PAC kesal Peguam Negara Switzerland terbuka kepada media

Kenyataan di media boleh menimbulkan banyak spekulasi dan tidak berasaskan kepada fakta yang tepat.

hasan arifin

PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal terhadap tindakan Peguam Negara Switzerland yang memilih untuk memberi maklumat kepada media berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya Datuk Hasan Arifin menegaskan, pihak berkuasa negara berkenaan seharusnya berurusan terus dengan kerajaan Malaysia kerana kenyataan di akhbar (media) boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan tidak berasaskan kepada fakta yang tepat.

Dalam pada itu, Hasan juga mengkritik laporan tidak bertanggungjawab portal The Malay Mail Online hari ini yang memetik sumber tidak bernama bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) gagal menepati tarikh pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB kepada PAC pada Februari ini.

“Laporan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab berkenaan jelas bertujuan untuk merosakkan reputasi dan kredibiliti PAC serta JAN yang sentiasa komited dalam melakukan pengauditan yang telus dan akauntabiliti terhadap 1MDB demi kepentingan rakyat.

“PAC menegaskan bahawa JAN akan tetap membentangkan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB pada Februari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin menggesa semua pihak agar meyakini dan percaya terhadap PAC yang diketuainya.

“Lagi pun Jawatankuasa ini dianggotai ahli yang terdiri daripada pelbagai parti termasuk parti pembangkang, tidak ada perkara yang harus dilindungi dan laporan PAC adalah berasaskan kepada maklumat yang tepat dan benar,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.