Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang membidas tindakan itu berkata, beliau mahu mengingatkan penyokong bola sepak negara ini agar tidak mencampuradukkan politik dengan sukan kerana ia bertentangan dengan budaya di Malaysia.
“Ini bukan tradisi (sukan) warga Malaysia, kita harus menjadi contoh kepada orang lain dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Pelantikan (Menteri Besar) itu merupakan bidang kuasa Perdana Menteri. Takkan sebab kita nak tukar Menteri Besar kita nak minta Perdana Menteri letak jawatan, itu tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memoramdum persefahaman Pertandingan Sukan Elektronik Asia Tenggara di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.
Isnin lalu, lagu ‘Kami nak Najib Undur’ bergema di Stadium Darul Aman ketika perlawanan persahabatan antara Kedah dan Sg Ara F.C.
Ia dilakukan sekumpulan anak muda `bersatu padu’ menyanyikan lagu itu di hadapan 20,000 penyokong bola sepak yang hadir di stadium berkenaan sebagai tanda protes terhadap usaha pihak-pihak yang mahu menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas lanjut, Saravanan mengingatkan Mukhriz supaya redha dengan keputusan penyingkirannya itu sebagai Menteri Besar.
“Dari segi pelantikan Menteri,Timbalan Menteri, Menteri Besar ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri apabila kita dilantik kita terima secara terbuka, malah, apabila pucuk pimpinan membuat keputusan melucutkan jawatan kita kena undur dan terimanya,” katanya.
