1MDB: Hasil siasatan PAC dijangka tidak mengejutkan

1MDB: Hasil siasatan PAC dijangka tidak mengejutkan

Ia berdasarkan keputusan Peguam Negara menolak kertas siasatan Bank Negara dan SPRM.

shahbudin PAC

PETALING JAYA:
Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibentangkan di Parlimen dijangka tidak mengejutkan.

Bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju, Shahbudin Hussin menerusi entri terbaru di blognya, shahbuddindotcom.blogspot.my berkata, jangkaan itu berdasarkan keputusan Peguam Negara sebelum ini.

Katanya, keputusan PAC dan Peguam Negara tidak akan berbeza kerana cara Pengerusi PAC, Datuk Hassan Ariffin mendapat jawatan lebih kurang sama dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Apandi dan Hassan mendapat “rezeki dan jawatan” di tengah-tengah siasatan terhadap 1MDB oleh sebuah pasukan petugas khas sedang rancak dijalankan

“Peguam Negara akhirnya menolak sebarang pendakwaan dalam kertas siasatan yang dilakukan oleh Bank Negara berkaitan 1MDB dan juga siasatan oleh SPRM terhadap Najib (Datuk Seri Najib Razak) berhubung wang ribuan juta yang masuk ke akaun peribadinya.

“Lantas, bolehkah diharapkan keputusan yang berbeza daripada PAC nanti?,” soal Shahbudin.

Shahbudin membangkitkan perkara itu susulan kenyataan Hassan yang begitu pantas mahu siasatan 1MDB ditamatkan.

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, dua saksi terakhir akan dipanggil untuk siasatan 1MDB minggu hadapan iaitu bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrul Azral Ibrahim Halmi serta bekas Pengerusinya, Mohd Bakke Salleh.

Dua individu akan dipanggil sebelum Ketua Audit Negara membentangkan laporannya dan selepas itu, PAC akan membuat rumusan untuk dibentangkan di Parlimen, kata Hassan.

Shahbudin berkata, Ahli PAC, Tony Pua ‘terkejut beruk’ dengan keputusan Hassan itu kerana masih ada lagi saksi penting yang belum dipanggil termasuk Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan jutawan Jho Low.

“Bagaimanakah agaknya rupa bentuk laporan dan rumusan PAC berhubung 1MDB nanti setelah saksi-saksi yang dianggap penting itu tidak dipanggil memberi keterangannya?, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.