1MDB: AS akan kembalikan 12 lukisan bernilai lebih USD30 juta

1MDB: AS akan kembalikan 12 lukisan bernilai lebih USD30 juta

Antara karya seni dikenal pasti ialah 'L'Ecuyere et les clowns' oleh Pablo Picasso.

Karya ‘L’Ecuyere et les clowns’ oleh Pablo Picasso dan ‘Composition’ oleh Joan Miró antara 12 lukisan yang akan dikembalikan kepada Malaysia, kata SPRM.
PUTRAJAYA:
Sejumlah lukisan bernilai tinggi dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, yang kini berada bawah kawalan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, akan dikembalikan kepada Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo, yang dipegang oleh Christie’s dan Sotheby’s Auction House, bernilai melebihi USD30 juta.

Menurut SPRM, perkara itu dicapai dalam dua siri perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta DoJ di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Dis lepas.

Antara karya dikenal pasti ialah ‘L’Ecuyere et les clowns’ oleh Pablo Picasso (1961), ‘Composition’ oleh Joan Miró (1953), ‘Still Life’ oleh William H Bailey (b.1930), ‘Studies for Sculpture’ oleh Alexander Calder (1898-1976) dan ‘Femme Assise’ oleh Henri Matisse (1869-1954).

Turut dibincang ialah isu penyanyi rap, Pras Michel, di AS yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menerima USD120 juta, sebahagian daripadanya dikaitkan dengan 1MDB dan syarikat cangkerang 1MDB.

“DoJ juga memaklumkan masih terdapat aset-aset milik Jho Low (Low Taek Jho) di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian AS,” menurut kenyataan.

SPRM turut memaklumkan bahawa aset di Hong Kong, Singapura serta Perancis telah dilupuskan, dan hasilnya akan dipindahkan ke AS.

“FBI dan DoJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan serta koordinasi antarabangsa dengan SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dipertingkat bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita, dan dipulihkan mengikut undang-undang,” katanya.

Lawatan ke AS diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Zamri Zainul Abidin, dan turut dihadiri Ketua Pengarah NFCC, Shamshun Baharin Jamil, dan Timbalan Pendakwa Raya AGC, Norinna Bahadun.

Sesi perbincangan di FBI dan DoJ itu bertujuan mengeratkan kolaborasi di peringkat global antara kedua-dua agensi selain memperkukuh kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan serta usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.