AS pertimbang permintaan Malaysia ekstradisi Tim Leissner

AS pertimbang permintaan Malaysia ekstradisi Tim Leissner

Jabatan Peguam Negara berkata permintaan ekstradisi itu dikemukakan pada 14 Ogos tahun lalu berkait peranannya dalam skandal 1MDB.

Tim Leissner
Bekas pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner telah mengaku bersalah atas peranannya dalam penipuan 1MDB. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan permintaan ekstradisi terhadap bekas rakan kongsi Goldman Sachs Tim Leissner dari negara itu berkait peranannya dalam skandal 1MDB, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC berkata permintaan itu susulan maklumat baharu yang ditemukan dalam perbicaraan rakan Leissner, Roger Ng di AS yang turut dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Malaysia terus berusaha untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak pernah diperolehi dan individu termasuk Leissner, yang tidak pernah dibicarakan dalam sistem keadilan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, permintaan permintaan ekstradisi itu dikemukakan pada 14 Ogos tahun lalu.

“Malaysia juga mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan dokumen dan maklumat tambahan yang diminta pihak berkuasa AS,” katanya.

Leissner, yang berkhidmat sebagai pengerusi Goldman Asia Tenggara, adalah individu utama dalam urus niaga bon USD6.5 bilion untuk 1MDB antara 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata Leissner bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan rakannya pegawai bank Goldman, Roger Ng untuk membayar lebih USD1.6 bilion rasuah kepada pegawai di Malaysia dan Timur Tengah.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah di AS. Dia mengaku menerima wang sogokan USD50 juta hingga USD60 juta dan sedang menunggu hukuman sejak itu.

Ng, yang disabitkan kesalahan di AS dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, kini berada di Malaysia membantu penyiasat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.