Himpunan anti Najib: DAP, AMANAH belum dijemput, Rafizi hadir

Himpunan anti Najib: DAP, AMANAH belum dijemput, Rafizi hadir

Himpunan pada 27 Mac itu belum ditetapkan lokasi tetapi ia lebih kepada forum bukannya demontrasi atau protes jalanan.

Anuar-Tahir-anthony-loke

KUALA LUMPUR:
DAP mengesahkan bahawa parti itu masih tidak menerima sebarang jemputan rasmi daripada Datuk Zaid Ibrahim berhubung Himpunan anti-Najib, 27 Mac ini.

Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke berkata pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan tertinggi parti itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya belum dimaklumkan bahawa ada jemputan rasmi kepada DAP. Kita bincanglah kalau ada jemputan ataupun permintaan daripada penganjur.

“Tapi saya nak tegaskan bahawa kita tidak terlibat secara langsung. Kita bukannya penganjur,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Anuar Tahir juga berkata parti itu masih belum mendapat jemputan daripada Zaid.

“Apa sahaja yang baik untuk negara, kita sokong. Tetapi AMANAH setakat ini masih belum mendapat jemputan rasmi.

“(Jika dijemput) Kita akan tengok dulu program itu dan putuskan dalam jawatankuasa nasional parti,” katanya lagi ketika dihubungi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula mengesahkan beliau akan hadir himpunan itu dan telah menerima jemputan rasmi daripada Zaid.

Zaid sebelum ini menjelaskan, perhimpunan bagi mendesak peletakan jawatan Najib yang dicadangkannya itu bukanlah bantahan awam, tetapi acara tertutup dengan jemputan hanya kira-kira 1,000 orang.

Semalam, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menyertai himpunan itu yang dijadualkan pada 27 Mac depan jika mendapat surat jemputan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.