Pertuduhan hasutan: Tian Chua terlepas sekali lagi

Pertuduhan hasutan: Tian Chua terlepas sekali lagi

Mahkamah mendapati bukti yang dibuat oleh saksi pihak pendakwaan tidak menyokong untuk mendakwa Tian Chua.

tian chua

KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PKR, Tian Chua sekali lagi dibebaskan hari ini selepas didakwa menuduh UMNO dalam kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan menolak rayuan oleh pihak pendakwaan ke atas Tian Chua.

Nordin berkata, bukti yang dikemukakan saksi pihak pendakwaaan (Aishah Geoffrey) tidak mencukupi untuk mendakwa Tian Chua.

“Katanya dia hanya menaip berita selepas bercakap di dalam telefon dan menulis draf berdasarkan apa yang diingati.

“Pendakwa hanya menyampaikan dokumen nota-nota tetapi bukan draf atau rakaman asal. Bukti yang diberikan juga secara tulisan dan bukan rakaman percakapan. Tulisan yang diberikan juga tidak difahami,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Chua ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dia berharap tidak ada lagi tuduhan liar dilemparkan terhadap dirinya selepas ini.

Katanya, ini kerana disebabkan kes itu, dia telah menerima sebanyak 500 laporan polis serta ancaman yang boleh membahayakan keselamatannya.

Pada 14 November 2014, Tian Chua dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu.

Hakim, Nosyaridah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.