Deklarasi Rakyat: UMNO belum bincang tindakan ke atas anggota terlibat

Deklarasi Rakyat: UMNO belum bincang tindakan ke atas anggota terlibat

Belum ada keperluan untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara tersebut.

Zahid-Hamidi_deklarasi-rakyat_600

IPOH:
Tindakan ke atas anggota UMNO yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri belum dibincangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata Majlis Tertinggi UMNO juga belum berbincang sama ada wujud keperluan untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara itu.

“Kami tidak pernah berbincang mengenainya,” katanya lapor Bernama.

Pada Jumaat, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 50 orang yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Najib, diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penandatangan lain termasuk Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Sementara itu, Kelab Veteran UMNO Malaysia menentang sebarang usaha untuk menggulingkan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokrasi.

Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub dalam kenyataan di sini hari ini berkata, 800,000 anggota kelab akan berdiri teguh di belakang pemimpin nombor satu negara itu dan mempertahankan UMNO daripada dimusnahkan.

Mustapha mengingatkan Dr Mahathir bahawa Najib dipilih oleh perwakilan sebulat suara dalam pemilihan terbuka UMNO tanpa sebarang syarat yang sebelum ini dikuatkuasakan pada zaman bekas perdana menteri itu.

“Oleh itu, mereka akan berdepan dengan Veteran. Veteran akan mengisytiharkan perang dengan sesiapa saja yang mahu menghancurkan UMNO. Biar mati bergalang tanah dari hidup menjadi bangkai,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Dr Mahathir mengepalai kumpulan itu sebagai terdesak untuk mencapai matlamatnya supaya Najib digulingkan sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan DAP.

“Semuanya atas alasan untuk menyelamatkan Malaysia. Kononnya, jatuhkan
Najib, maka selamatlah Malaysia. Kononnya, jatuhkan Najib, bukan bermakna jatuhkan kerajaan BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.