Rata-ratanya rakyat Selangor memandang ringan penjagaan kebersihan kawasan rumah dan mengundang kepada pembiakan nyamuk pembawa wabak maut itu.
“Lumrah manusia, sikap sambil lewa dan ambil mudah dalam menjaga kebersihan sampah-sampah dan suka membuang sampah merata-rata terutamanya di kawasan flet. Ada yang membuang sampah dari atas ke bawah dan ada yang sehingga sangkut di atas bumbung.
“Apabila hujan ini menyebabkan air bertakung dan mengundang pembiakan nyamuk Aedes,” kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi kepada FMT di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, ADUN Sementa itu berkata, sikap melengah-lengahkan pemeriksaan oleh pesakit yang sudah dijangkiti denggi juga menyebabkan kadar kematian akibat penyakit itu semakin meningkat.
Sehubungan itu, Daroyah mendesak rakyat Selangor lebih peka dan melakukan pemeriksaan dengan kadar segera sekiranya mendapati tanda dijangkiti demam denggi.
“Jika seseorang mengalami demam teruk, melalui pemeriksaan di klinik atau hospital masa ini sudah senang untuk mengesan sama ada mereka dijangkiti demam denggi atau tidak.
“Mereka tidak boleh diam sepanjang mengalami demam itu. Sebab ada dalam kalangan pesakit ini tidak tahu dijangkiti denggi dan berharap sembuh sendiri. Tetapi tidak sebenarnya dan disebabkan kelewatan itu, menyebabkan demam melarat dan menyebabkan kematian apabila virus merebak dalam badan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dipetik berkata, kes demam denggi seluruh negara diramal menjadi lebih buruk tahun ini berbanding tahun lalu apabila 26,533 kes dilaporkan sejak Jan hingga hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 1,400 kes berbanding 25,028 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
