
Pelaksanaan teknologi Wolbachia dikenal pasti antara faktor utama yang mampu memberikan hasil lebih pantas dan berkesan dalam menangani wabak bandar.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Sakeri Abdul Kadir, berkata penurunan itu membuktikan pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi mencukupi dalam menghadapi cabaran denggi di kawasan bandar yang padat.
“Data di Putrajaya membuktikan inovasi seperti teknologi Wolbachia mampu mempercepat pengawalan denggi dan melindungi komuniti dengan lebih berkesan.
“Pada masa sama, usaha ini sebahagian komitmen berterusan untuk menjadikan Putrajaya sebuah bandar lebih selamat dan kondusif supaya kanak-kanak dapat bermain di kawasan perumahan tanpa rasa bimbang terhadap risiko kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Berkongsi data terkini, beliau berkata, sehingga bulan lalu, pelaksanaan teknologi itu di Putrajaya dilaksanakan secara berperingkat di lokaliti berisiko tinggi, iaitu Presint 14.
Sebanyak 588,800 nyamuk dewasa dilepaskan melalui beberapa siri pelepasan sejak 2020 dan kini dalam fasa penyelenggaraan, termasuk suntikan tambahan.
“Di Presint 18 pula, 554,400 nyamuk dewasa dilepaskan sejak Oktober 2025 dengan kawasan ini kini dalam fasa sustain, menandakan proses penstabilan populasi Wolbachia sedang berlangsung.”
Menurutnya, Jabatan Wilayah Persekutuan sedang mengkaji keberkesanan dengan agihan bajet sedia ada, termasuk program gotong-royong serta meneliti peluasan teknologi itu ke kawasan projek perumahan rakyat dan perumahan awam yang mencatatkan kadar tinggi kes denggi.