Sejak bila PAS, Abdul Hadi pertahan Najib?

Sejak bila PAS, Abdul Hadi pertahan Najib?

Kami tidak mempertahan Najib tetapi kita mahu tumbangkan parti UMNO, BN secara total.

IDRIS,HADI,NAJIB

PETALING JAYA:
PAS membidas pihak yang menuduh Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersubahat dan mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata pemimpin parti Islam itu tidak pernah mempertahankan Perdana Menteri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Katanya, memang sudah menjadi amalan PAS dari dahulu bahawa parti itu tidak sesekali membuat serangan terhadap individu – termasuk Najib – sebaliknya berjuang untuk menjatuhkan UMNO dan BN secara menyeluruh.

“Pertama, sejak bila pula pemimpin PAS (Abdul Hadi) nak mempertahankan Datuk Seri Najib?

“Perjuangan PAS bukan setakat melawan pemimpin (Najib) tetapi juga melawan parti. Kita melawan parti yang dipimpin Najib. Sebab itu nafas PAS panjang, kerana kami lawan UMNO selama 65 tahun,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sekali lagi menempelak pihak yang mendakwa Abdul Hadi dan PAS bekerjasama dengan Najib dan UMNO sebagai kumpulan yang tidak pandai berjuang politik.

“Kami tak pertahan Najib tetapi kita mahu tumbangkan parti UMNO, BN secara seluruhnya. Kalau tak faham bahasa tak payah jadi ahli politik,” katanya.

Terdahulu, bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Syed Saifuddin Syed Harman menggesa rakyat memerangi Abdul Hadi sekiranya beliau terus bersubahat dengan Perdana Menteri yang terpalit dengan pelbagai tuduhan skandal.

“Saya nasihatkan mereka yang membuat tomahan itu supaya mengaji (belajar) bahasa sebelum masuk politik,” tambah Idris.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.