Sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO yang sedang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, deklarasi itu adalah bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan rakyat sudah hilang percaya dengan kepimpinannya.
Katanya, ia disebabkan Najib kini terpalit dengan pelbagai tuduhan akibat skandal kewangan yang sedang dihadapi.
“Agak malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya melabel Tun Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan UMNO.
“Tuduhan ini sama sekali tidak benar. Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana parti politik. Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia.
“Malah imej negara kita juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata demikian, menafikan dakwaan Deklarasi Rakyat yang turut disertai Kit Siang merupakan agenda DAP untuk menghancurkan UMNO.
Tegasnya, dakwaan yang dibuat itu adalah disebabkan beberapa pemimpin UMNO mula bimbang dengan kedudukan Najib berikutan Dr Mahathir kini dilihat mendapat sokongan daripada pelbagai pemimpin daripada pelbagai latar belakang politik melalui deklarasi itu.
“Pada hemat saya, orang-orang di sekeliling Najib sebenarnya bimbang akan kesan inisiatif Tun Mahathir terhadap kedudukan ketua mereka sebagai Perdana Menteri.
“Saya percaya lebih ramai rakyat akan tampil menyatakan sokongan mereka terhadap Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat. Sudah pasti perkembangan ini amat membimbangkan Najib dan orang-orang sekelilingnya,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir menandatangani deklarasi yang turut disertai bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO).
Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada Najib supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
