Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah memberi ingatan itu susulan tindakan Dr Mahathir bersama parti pembangkang menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ yang antara lain menuntut SPR melaksanakan pilihan raya secara telus dan adil.
“Sebenarnya saya tidak boleh komen, itu masalah politik tetapi seolah-olah dia (Dr Mahathir) nak kaitkan dengan pilihan raya. Tugas kita (SPR) menjalankan tugas untuk mengendali pilihanraya dan tidak mempunyai kaitan dengan politik, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Menara SPR di sini hari ini.
Hashim berkata, pilihan raya di negara ini telah dijalankan secara adil dan bersih.
“Kalau kita tidak adil dan kita memihak kepada pihak-pihak tertentu (kerajaan), tidak ada pula beberapa negeri jatuh kepada pihak-pihak tertentu (pembangkang) dan negeri yang jatuh kepada pihak tertentu (pembangkang) negeri yang kaya.
“Ini bererti kita telus, jangan salahkan kita. Kalau nak bergaduh dalam politik, bergaduh(lah) dalam (ruang) politik (sesama mereka), jangan kaitkan SPR. SPR cuma menjalankan pilihanraya,” katanya.
Hashim akui SPR selaku badan yang mengendalikan pilihanraya tidak boleh lari daripada berdepan dengan pelbagai tohmahan, malah mengakui pihaknya sukar untuk menepis tomahan yang dilemparkan.
Mengulas mengenai pilihanraya negeri Sarawak, Hashim berkata tarikh pilihan raya akan diketahui selepas pembubaran DUN negeri itu.
“Saya sendiri tidak tahu bila dewan itu dibubar, bila DUN bubar dan Speaker DUN maklum kepada kita secara bertulis baru kita akan akan ambil alih untuk menjalankan pilihanraya.
“Malah kita sudah bersedia hampir 90 peratus untuk mengendalikan pilihanraya tersebut,” katanya.
