Demi memudahkan perlawanan antara parti pembangkang dan parti pemerintah dalam pilihan raya, Ahli Parlimen Pokok Sena berpendapat, Malaysia sewajarnya bergerak daripada sistem kepelbagaian parti kepada sistem dua parti; justeru, kehadiran blok PAS-IKATAN menyukarkan peralihan itu.
“Saya tidak kata saya tidak sokong,” tegasnya kepada pemberita di ruang legar Parlimen; “proses negara demokrasi ini (perlu bergerak) daripada sistem kepelbagaian parti kepada sistem dua parti tetapi kalau pelaksanaan ini (PAS-IKATAN) berjalan saya lihat bahawa kita (perkumpulan politik) akan jadi tiga blok parti.”
“Itu tentu menyulitkan kepada rakyat.”
Beliau akui kehadiran alternatif ketiga untuk para pengundi itu pasti merancakkan lanskap politik negara.
“Bagi saya dari sudut demokrasi dan sudut amalan berkenaan itu terpulang kepada hak sesiapa sahaja tetapi pada percaturan untuk memastikan masa depan politik negara, saya tidak nampak ia dapat membantu kepada proses untuk kita ke hadapan,” kata Mahfuz.
PAS hari ini mengumumkan penubuhan kerjasama politik dengan IKATAN bagi membentuk blok pembangkang ketiga, sekaligus menambah ‘warna’ politik tempatan.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerjasama itu bertujuan mewujudkan persefahaman politik yang lebih tersusun yang sedang digagaskan PAS.
Tindakan PAS menubuhkan blok ketiga pembangkang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada parti pembangkang yang lain terutamanya bekas sekutu mereka DAP yang menolak pembentukan itu.
