Sudahlah kos hidup tinggi, saman trafik pun nak naik?

Sudahlah kos hidup tinggi, saman trafik pun nak naik?

Statistik menunjukkan kenaikkan kadar saman trafik tidak berjaya mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini.

saman-pdrm

PETALING JAYA:
Kerajaan tidak seharusnya menaikkan kadar kompaun terhadap pesalah trafik kerana ia memberi tekanan kepada rakyat yang kini menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata kerajaan sepatutnya memberi diskaun kepada pesalah trafik untuk menggalakan mereka untuk membayar saman.

“Sepatutnya kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberikan diskaun kepada pesalah trafik khususnya bagi kesalahan kategori kedua dan ketiga dan mungkin juga patut memberikan pelepasan kepada pesalah trafik kategori keempat yang tidak menyumbang kepada kemalangan dan kesesakan.

“Tindakan memberikan diskaun ini adalah amat wajar sekali dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini dan juga sangat berkesan untuk menggalakkan pembayaran saman,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas lanjut kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan saman trafik yang masih belum dibayar bagi tempoh 2010 hingga 2015 adalah berjumlah RM1.46 bilion membabitkan 14.59 juta daripada 28.42 juta saman yang dikeluarkan.

Nik Abduh berkata, cadangan menaikkan kadar kompaun trafik itu akan mendatangkan banyak implikasi kepada rakyat.

“Faktanya, jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang Ops Selamat 8/2016 meningkat kepada 19,572 kes berbanding 19,094 kes sepanjang Ops Selamat 8/2015.

“Ini menunjukkan kadar saman itu sendiri sebenarnya tidak berjaya pun untuk mengubah sikap pengguna yang bermasalah di jalan raya. Oleh itu, adalah amat tidak patut sekali kerajaan menambah tekanan kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.