Adenan dipuji laksana janji

Adenan dipuji laksana janji

Ketua menteri mahu pastikan Sarawak terus ditadbir secara bertanggungjawab selepas persaraan, menurut seorang ahli PBB.

Abdul Karim Rahman Hamzah

PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem meletakkan asas pembangunan Sarawak yang mapan, yang dipacu oleh masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan, dan bukannya ditampung sumber semula jadi semata-mata.

Ditemubual FMT, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputra, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan dasar dan keputusan Adenan yang berkisar sekitar bahasa dan pendidikan tertuju kearah mengubah Sarawak supaya pertumbuhan negeri kurang bergantung kepada kemewahan sumber semula jadi.

“Tok Nan mahu lebih daripada sekadar mengurus negeri ini,” katanya. “Beliau mahu pastikan masa depan Sarawak terjamin selepas beliau bersara.”

“Beliau sedar melalui dasar pendidikan yang mantap, Sarawak menerima manfaat daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bukan sahaja mampu cemerlang dalam negeri tetapi juga di alam jagat.”

Karim, yang merupakan ADUN Asajaya dan Menteri Muda Perumahan, menarik perhatian FMT kepada pengumuman Adenan berhubung perkara pendidikan yang diterjemahkan kepada dasar yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata dasar Adenan seperti menjadikan Bahasa Inggeris bahasa rasmi kedua; serta kesungguhan beliau mengalakkan rakyat Sarawak menguasai bahasa itu petunjuk jelas sejauh mana kemahuan beliau memajukan modal insan negeri itu..

“Tok Nan menggariskan peri pentingnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa sejagat untuk perdagangan, sains, teknologi dan banyak lagi,” katanya.

Pengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) merupakan satu lagi contoh yang diberikan Karim. Dengan pengiktirafan ini, sijil itu boleh boleh digunakan sebagai sokongan kepada permohonan kerja di sektor awam, biasiswa dan pinjaman daripada Yayasan Sarawak. Beliau menekankan bahawa Sarawak merupakan negeri pertama yang mengiktiraf UEC untuk kerja di sektor awam.

Perkembangan ini menunjukkan betapa Adenan menghargai modal insan, kata Karim.

“Tok Nan sedar sekiranya kita tidak mengiktiraf UEC, anak-anak tempatan yang berbakat akan disambar negara-negara lain yang mengiktiraf sijil itu,” tambahnya.

Disamping itu, kerajaan negeri dibawah pentadbiran Adenan memperuntukkan RM12 juta untuk membantu sekolah-sekolah aliran Cina swasta dan Putrajaya menyahut seruan Ketua Menteri dengan memberi peruntukan untuk merangsang kemampuan Sarawak dalam Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

(Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini memperuntukkan tambahan RM10 juta untuk pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK di Sarawak diatas RM20.1 juta yang telah diperuntukkan tahun ini.)

“Adenan bersungguh mahu mendayakan (empower) rakyat murba (orang kebanyakan) Sarawak menjadi warga sejagat (global citizen) yang akan memacu pertumbuhan mapan dan membawa Sarawak ke aras baru,” jelas Karim.

“Beliau ikhlas mahu yang terbaik untuk Sarawak. Beliau bukan jenis orang yang bertanam tebu di bibir, seperti yang kamu dapat lihat daripada contoh-contoh tadi. Ini; semua ini, dasar dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.