Isu banglo: DAP Pulau Pinang terima penjelasan Guan Eng

Isu banglo: DAP Pulau Pinang terima penjelasan Guan Eng

DAP Pulau Pinang mendapati isu banglo Guan Eng adalah satu kes pendakwaan yang berbaur politik.

PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah menerangkan isu pembelian banglonya yang berharga RM2.8 juta kepada DAP negeri.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow, berkata DAP Pulau Pinang menerima penjelasan Guan Eng dan bersetuju beliau tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang.

“Kita mendapati ini satu kes pendakwaan yang berbaur politik dan (Guan Eng) dijadikan mangsa.

“Sebab mengikut fakta-fakta, Ketua Menteri tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggari undang-undang,” katanya ketika dihubungi FMT di sini, semalam.

Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang turut mahu Guan Eng terus memimpin kerajaan negeri dan menentang dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, George Town, sedangkan nilai semasa banglo itu dikatakan lebih RM3 juta.

Shabudin turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.