Melalui satu kenyataan kepada agensi berita Bernama, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pengakuan Mahathir seorang diktator semasa tempoh 22 tahun menjadi Perdana Menteri sebenarnya “kenyataan kurang tepat yang klasik abad ini”.
“Semasa Dr Mahathir menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, PBS keluar dari BN di ambang pilihan raya umum 1994 kerana tidak berpuas hati terhadap sikap tidak ambil peduli oleh kerajaan Persekutuan berhubung isu-isu menyentuh kepentingan di Sabah,” kata beliau.
Menurut Maximus, Dr Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melenyapkan kritikan.
Diasaskan Datuk Joseph Pairin Kitingan, PBS memerintah Sabah selepas pilihan raya negeri 1985 – pertama kali dalam sejarah Sabah parti bukan daripada gagasan BN membentuk kerajaan.
Namun tertewasnya BN di Sabah disusuli rusuhan di beberapa kawasan di negeri itu. PBS kemudiannya menyertai BN dan keamanan dipulihkan.
Tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum 1990, PBS menarik diri daripada BN, berganding bahu dengan Semangat 46 dan DAP, dan sekali lagi membentuk kerajaan di Sabah.
Pada 1991, Kuala Lumpur melancarkan operasi memberkas beberapa pemimpin yang disyaki merancang untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia. Tujuh orang ditahan dibawah ISA termasuk Maximus (ditahan Jan, dibebaskan Mac), Joseph Pairin dan adik Joseph, Jeffrey Pairin Kitingan.
PBS kembali menyertai BN pada 2002.
