Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, Proton ditadbir oleh pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarahnya.
“Syarikat itu sebenarnya ditadbir oleh pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah, jadi tidak kisah siapa yang akan jadi pengerusi.
“Mereka yang setia membeli kereta Proton adalah mereka yang sebenarnya membeli sebuah kereta yang merasakan kereta itu bagus bukannya orang yang setia kepada pengerusi,” katanya ketika ditemui pemberita, di lobi Parlimen, hari ini.
Ujar Hamzah lagi, walaupun Dr Mahathir merupakan pengasas Proton, syarikat itu juga memerlukan perubahan mengikut arus peredaran zaman.
“Walaupun beliau orang yang merancang tubuhkan Proton, tetapi dalam keadaan di mana dunia memerlukan satu lagi perubahan termasuk sektor automatif.
“Saya yakin, siapa sahaja yang menggantikan beliau akan melihat dari segi masa depan Proton yang terpaksa merubah dari segi budaya kerja syarikat.
“Malah, dari segi kedudukan dia sekarang ini, mungkin sudah sedar dan sudah sampai masanya untuk diserahkan kembali jawatan itu,” kata beliau lagi.
Awal petang ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).
Sementara itu, Hamzah turut menyatakan walaupun Mahathir telah menjadi pengerusi syarikat itu sejak diasaskan pada 7 Mei 1983, semua pihak harus melihat kehadapan.
“Kita semua harus kehadapan, apabila perkara lain yang mendatang, kita semua harus bergerak kehadapan. Apa yang kita lakukan sebelum ini, kita akan dapat balik,” ujarnya.
