Tuduhan ‘curi’ wang Bersatu, Tun Faisal cadang Muhyiddin, Mahathir bersemuka

Tuduhan ‘curi’ wang Bersatu, Tun Faisal cadang Muhyiddin, Mahathir bersemuka

Kedua-dua tokoh itu wajar bersemuka agar kekeliruan tidak berpanjangan, kata ketua penerangan Bersatu.

tun faisal, muhyiddin n mahathir
(Dari kiri) Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, terdapat kemungkinan Dr Mahathir Mohamad dapat maklumat tidak tepat sebelum tuduh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan agar Muhyiddin Yassin and Dr Mahathir Mohamad mengadakan ‘pertemuan empat mata’ agar kekeliruan berhubung tuduhan dana Bersatu diseleweng tidak berpanjangan.

Merujuk tuduhan Mahathir bahawa Muhyiddin ‘mencuri’ dana Bersatu, Tun Faisal berkata, besar kemungkinan Mahathir menerima maklumat tidak benar.

“Justeru, adalah lebih wajar perkara ini diperjelaskan melalui pertemuan empat mata antara kedua-dua tokoh ini bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan, lebih-lebih lagi apabila perkara ini tidak pernah dibangkitkan oleh Mahathir dalam begitu banyak pertemuan mereka sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, sebuah klip video berdurasi dua minit tular, didakwa menunjukkan Mahathir menuduh Muhyiddin mencuri wang parti dan ‘menyimpannya di rumah’, selain tuduhan Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri untuk mengelak dipenjara.

Tuduhan itu kemudian dinafikan Muhyiddin, yang mendakwa Mahathir mungkin mendapat maklumat tidak benar daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menjelaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus oleh bendahari agung.

Dalam pada itu, Tun Faisal menyifatkan dakwaan bahawa Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri semata-mata untuk mengelak dipenjara sebagai tidak munasabah, tambahan apabila beliau sendiri pernah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding sebagai presiden Bersatu pada 2023.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa beliau takut dipenjarakan, bukankah tidak logik untuk beliau melepaskan jawatan presiden ketika itu? Bukankah lebih baik jika beliau mengikut jejak langkah presiden parti tertentu?”

Sebelum ini sekutu, hubungan Mahathir dan Muhyiddin renggang selepas Langkah Sheraton pada 2020 yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimanapun, hubungan mereka kelihatan lebih mesra sejak kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.