Parlimen tolak usul bahas laporan ABC

Parlimen tolak usul bahas laporan ABC

Laporan itu disiarkan tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa Malaysia

pandikar-ABC
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menolak usul berhubung laporan yang disiarkan stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation (ABC) berkaitan aliran tunai luar biasa sebanyak RM1.1 bilion membabitkan Perdana Menteri.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul itu menegaskan, laporan terbabit disiarkan tanpa pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa Malaysia.

“Saya telah teliti perkara yang dibangkitkan itu dan dimaklumkan bahawa laporan ABC pada 28 Mac 2016 disiarkan tanpa pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa di Malaysia.

“Dengan itu, saya dapati usul ini melanggar Perintah Tetap 23 (1)(i) dan Perintah Tetap 18(7)(c),” katanya dalam satu notis bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) hari ini.

Hee pada 31 Mac lalu menyerahkan satu usul kepada Pandikar yang memohon Dewan Rakyat membahas dan membincangkan laporan yang disiarkan ABC, kerana maklumat baru berhubung aliran tunai dan transaksi terperinci di sebuah akaun Ambank yang didakwa milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Satu keputusan perlu dibuat berhubung laporan itu, dengan menggesa siasatan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ke atas agensi berita itu bagi mengesahkan laporannya.

“Memandangkan laporan-laporan itu menarik minat orang ramai dan telah menjejaskan imej negara serta Perdana Menteri, maka ia perlu dibuat secepat mungkin,” katanya.

Hee dalam satu surat kepada Pandikar memaklumkan, laporan itu menyatakan sejumlah RM1.1 bilion “aliran tunai langsung dan luar biasa” membabitkan USD75 juta daripada seorang Putera Arab Saudi, USD80 juta daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan USD120 juta daripada sebuah syarikat di Kepulauan British Virgin.

Hee turut menyatakan ABC melaporkan satu transaksi akaun terperinci untuk beberapa perkara, meliputi RM3.2 juta untuk barang kemas, RM2.4 juta bagi kempen politik, RM7.5 juta untuk Yayasan Rahah, RM395,782.40 bagi penginapan hotel, RM360,000 untuk membeli-belah, RM178,000 bagi percutian dan RM167,959.50 untuk kereta mewah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.