Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaparawi berkata, timbalan menteri tidak layak untuk dilantik sebagai Menteri Besar kerana ia seorang Ahli Parlimen sedangkan pelantikan bagi jawatan itu perlu dipilih dari seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Jika seorang Ahli Parlimen mahu menjadi ADUN, maka salah seorang ADUN BN Johor yang ada sekarang perlu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada timbalan menteri bertanding kerusi DUN itu. ADUN yang letak jawatan akan hilang kelayakan bertanding selama lima tahun.
“Untuk adakan pilihan raya kecil (PRK) ia mestilah lebih dari dua tahun sebelum DUN Johor ke 13 tamat (2018). Sekarang DUN Johor ke-13 telah menghampiri 3 tahun, Mei 2016. (Lagi 1 bulan). Untuk adakan PRK perlu ada persiapan rapi dari parti yang bertanding. Bukan boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Bukan semudah beli kacang butir,” katanya.
Bercakap kepada FMT, Aziz yang juga Ahli Parlimen Sri Gading yakin bahawa Perdana Menteri tidak akan mengambil risiko menukar Menteri Besar sebelum pilihanraya umum, kerana ia dilihat bukan langkah yang bijak sekaligus menambahkan lagi kehancuran kepada UMNO.
“Jadi anggaplah gosip berkenaan sebagai sampah sahaja. Janganlah kita terus melayan cerita-cerita yang tidak logik kerana kita pula yang akan dilihat bodoh. Biarlah dia (Shukur) bodoh seorang diri dia sahaja,” sindirnya.
Perkara sama turut ditegaskan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim yang menyifatkan sebarang gerakan untuk menukar Menteri Besar dianggap seperti satu gerakan mengarut dan membazir masa.
Katanya, banyak perkara hebat berlaku ketika Khaled mentadbir Johor yang antaranya negeri itu terus maju hingga menghasilkan pendapatan ekonomi negeri yang progresif.
“ KDNK Johor menunjukkan pertumbuhan pada kadar 6.5% dengan nilai RM 93.7 bilion pada tahun 2014 sahaja.
“Perkara yang mensejahterakan dan mengutamakan rakyat telah banyak dijalankan. Ini dapat dilihat menerusi titik sentuh di bawah Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat,” ujarnyanya.
Ahli UMNO, Shukur Mohamad yang juga anak Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz telah mencetuskan kontroversi politik di negeri itu apabila mendakwa, wujud gerakan mencantas Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar ekoran dilihat gagal mengawal pemimpin UMNO cawangan daripada menentang kepimpinan Presiden UMNO.
Di Johor, terdapat seramai enam Ahli Parlimen yang dilantik sebagai timbalan menteri.
Selain Aziz, mereka adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (MP Muar), Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (MP Ledang), Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (MP Pulai), Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique (MP Tenggara) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (MP Pontian).
