Fadhli gesa kerajaan beri pengiktirafan rasmi terhadap keluarga Indiran

Fadhli gesa kerajaan beri pengiktirafan rasmi terhadap keluarga Indiran

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata keluarga mendiang kehilangan suami dan anak ketika berkhidmat untuk negara.

K Indiran
K Indiran ditemui tidak sedarkan diri ketika mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang pada 18 Feb lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PAS mencadangkan kerajaan memberi bantuan menyeluruh dan pengiktirafan rasmi yang sewajarnya kepada keluarga mendiang anggota tentera Truper K Indiran yang meninggal dunia pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari berkata jaminan kebajikan jangka panjang kepada ibu mendiang, S Usha juga wajar dipertimbangkan memandangkan keluarga itu telah kehilangan dua insan tersayang ketika berkhidmat untuk negara dalam tempoh kira-kira sedekad.

“Saya berpandangan kerajaan perlu tampil lebih proaktif dan bermakna dalam menghargai keluarga mendiang.

“Beliau (Usha) bukan sekadar kehilangan suami, tetapi kini juga seorang anak yang gugur ketika sedang berkhidmat untuk negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada 18 Feb lepas, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang ditemui tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

Mendiang adalah anak kepada Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, pada 2016.

Fadhli turut menggesa siasatan telus dilakukan bagi memastikan punca kematian dikenal pasti sepenuhnya demi keadilan kepada keluarga serta keyakinan terhadap institusi pertahanan negara.

Terdahulu hari ini, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata hasil bedah siasat mendapati tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera berkenaan dan meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat perkara itu, jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.