Polis, Pejabat Peguam Negara bincang kertas siasatan Mahathir

Polis, Pejabat Peguam Negara bincang kertas siasatan Mahathir

Polis membuka empat kertas siasatan terhadap Dr Mahathir termasuk dakwaan menghasut.

Khalid-Mahathir
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk perbincangan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, ia antara empat kertas siasatan telah dibuka terhadap Dr Mahathir melibatkan dakwaan menghasut dan tuduhan lain.

Khalid berkata, ada kertas siasatan masih belum dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan.

“Kami telah membuka empat kertas siasatan terhadap Tun Mahathir.

“Ada yang belum selesai lagi, ada yang kita bawa bincang dengan Peguam Negara, jadi setakat ini kita tidak boleh menghukum apa-apa (terhadap Dr Mahathir),” katanya selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Knan Bukit Aman di sini, hari ini.

Dr Mahathir disiasat antaranya kerana mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali tidak akan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau membuat dakwaan itu menerusi blogya, chedet.cc yang disiarkan pada 5 Februari lalu.

Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Dr Mahathir.

Terbaharu pada Sabtu lalu, Dr Mahathir menerusi wawancara bersama akhbar Australia, The Weekend Australian meminta campur tangan pihak antarabangsa untuk memudahkan Najib dijatuhkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.