Ini kerana kesemua calon-calon berkenaan, termasuk bekas Presiden UPP, Wong Soon Koh yang dinamakan sebagai calon langsung BN untuk kerusi Bawang Assan telah mengikrarkan kesetiaan pada parti dan mengusahakan kemenangan buat gagasan pemerintah dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.
“Perletakan keahlian tidak bermakna mereka tidak setia kepada parti,” katanya, dan menjelaskan bahawa perletakan keahlian itu selaras dengan perlembagaan BN yang menetapkan bekas ahli UPP perlu meletak keahlian sekiranya mahu bertanding dalam pilihan raya.
George berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem disini.
Adenan sebelum ini meminta semua calon langsung BN supaya meletak keahlian masing-masing untuk membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya sebagai calon BN.
George berkata UPP mahu membantu semua komponen parti BN termasuk pesaing terdekat mereka, SUPP, sepanjang tempoh berkempen. Parti itu berharap kesungguhan ini dibalas dengan kesungguhan yang serupa daripada komponen.
UPP merupakan parti pecahan SUPP.
George juga berkata penggembelengan jentera untuk BN dan prestasi calon-calon langsung BN daripada UPP akan meningkatkan kebarangkalian partinya diterima masuk BN.
Sementara itu, Soon Koh berkata calon langsung BN daripada UPP, iaitu Wong Hua Kiong dan Janet Lau akan dibenarkan bertanding di kerusi Meradong dan Pelawan.
“Kita yakin mereka boleh menang.”
