Pemimpin MCA sebenarnya yang rasis – PERKASA

Pemimpin MCA sebenarnya yang rasis – PERKASA

Kenyataan Lian Ker mendakwa Perlembagaan Negara menyerlahkan perkauman boleh mencetuskan ketegangan kaum

ti-lian-ker

PETALING JAYA:
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilabelkan pemimpin rasis, kerana mendakwa Perlembagaan Negara menyerlahkan perkauman.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu tidak wajar, kerana ia amat berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

“Ini merupakan satu kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Hanya merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Negara mengenai bangsa dan agama, membuktikan beliau adalah seorang yang rasis, kerana saya percaya ianya mengenai Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hassan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lian Ker yang mendakwa peruntukan mengenai bangsa dan agama dalam Perlembagaan Persekutuan menyerlahkan isu perkauman di negara ini dan diburukkan lagi oleh institusi dan pentadbiran yang dicemari sentimen perkauman dan agama.

Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, sebagai pemimpin Barisan Nasional (BN), Lian Ker seharusnya menghormati Perlembagaan Negara dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang mempertikaikan Perlembagaan Negara.

“PERKASA nasihatkan Lian Ker berhati-hati bermain kata-kata. Jangan jadi jaguh bangsa sendiri dengan mempersoalkan Perlembagaan Negara.

“Untuk perhatian Lian Ker, PERKASA sedang mencari calon sesuai untuk bertanding di semua kawasan yang dimenangi MCA, di mana majoriti adalah kaum Melayu yang memberi undi kepada calon MCA.

“MCA tidak berhak mendpaat undi orang Melayu, jika mereka terus mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.