Pemuda UMNO desak TNB tawar rebat khas

Pemuda UMNO desak TNB tawar rebat khas

TNB tidak sepatutnya melihat 'kantung' korporat semata-mata, dengan mengaut keuntungan berlebihan ekoran cuaca panas terik

Khairul-Azwan-Harun_tnb_600

PETALING JAYA:
Pemuda UMNO mendesak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan rebat khas bersifat ‘one off’ untuk bil elektrik setiap bulan, sepanjang fenomena El Nino melanda, bagi mengurangkan beban rakyat.

Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihak TNB tidak sepatutnya melihat ‘kantung’ korporat semata-mata, dengan mengaut keuntungan berlebihan, ekoran cuaca panas terik yang menyebabkan rakyat bertambah derita.

“Malahan, sebarang cadangan penjimatan penggunaan tenaga tidak sesuai, kerana masakan rakyat dapat berjimat menggunakan elektrik, apabila keperluan itu sudah terdesak.

“Pemuda UMNO juga mendesak TNB segera memperhalusi formula dan kaedah rebat khas ini, demi kepentingan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, TNB dalam satu kenyataan media menyatakan cuaca panas terik dan kering yang berterusan sehingga hari ini adalah punca penggunaan elektrik meningkat.

Permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatat bacaan 17,788 MW pada Rabu lalu, naik 37.82 peratus berbanding 12,906 MW pada 1 Januari lalu, kesan fenomena El Nino.

Semalam, Gerakan Pengguna Malaysia turut mendesak TNB melaksanakan tanggungjawab sosialnya, dengan memberi rebat ‘one off’ kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sepanjang fenomena El Nino, bagi meringankan beban rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.