Pemuda Umno Johor cabar isu DAP bawa UEC ke mahkamah

Pemuda Umno Johor cabar isu DAP bawa UEC ke mahkamah

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, kata keputusan semakan kehakiman ini akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC.

Noor Azleen Ambros
Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, dakwa DAP terus menjadikan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai bahan permainan politik, berkaitan pengiktirafan UEC. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Johor mencabar DAP untuk membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke mahkamah bagi semakan kehakiman.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, mendakwa DAP terus menjadikan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai bahan permainan politik ‘yang sempit dan bermusim’, selepas Timbalan Pengerusi Nga Kor Ming dilapor berkata parti itu akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan EUC.

Azleen berkata masa isu itu dibangkitkan, iaitu sejurus kekalahan teruk DAP pada PRN Sabah ke-17, memperlihatkan ‘kegusaran dan ketandusan strategi’ DAP dalam usaha mengekalkan sokongan pengundi Cina.

“Sehubungan itu, bagi menamatkan serta memuktamadkan polemik berpanjangan berhubung peperiksaan UEC, Pemuda UMNO Johor mencabar DAP untuk membawa perkara ini ke peringkat semakan kehakiman di mahkamah,” menurut kenyataan.

“Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa UEC selari dengan Perlembagaan serta memenuhi aspirasi dan dasar nasional dalam bidang pendidikan, maka tiada lagi alasan untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafan UEC.

“Keputusan semakan kehakiman ini akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC, sekali gus membolehkan kerajaan dan semua pihak memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu yang lebih mendesak dalam memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan.”

Cabaran ini menyusuli teguran Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang berkata Nga harus memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meminta kerajaan mengiktiraf UEC.

Katanya, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan pengiktirafan UEC yang tidak menepati aspek penting dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

UEC diberikan bagi Peperiksaan Bersama yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, dan pada masa ini tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke universiti awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.