Hadi ‘penghalang’ bukan Islam hayati keindahan PAS

Hadi ‘penghalang’ bukan Islam hayati keindahan PAS

Penganalisis berkata keadaan itu mungkin 'menghampakan' AJK PAS Nik Abduh Nik Aziz yang mendakwa partinya kembali dalam radar pilihan pengundi bukan Islam.

abdul hadi awang
Pada 2022 Hadi Awang menuding jari kepada bukan Muslim dan bukan Bumiputera sebagai ‘perosak politik dan ekonomi negara’ selain mengaitkannya sebagai punca rasuah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kenyataan Presiden PAS Hadi Awang berhubung ancaman kafir terhadap orang Islam dan mendakwa kaum itu sebagai sumber rasuah mungkin mengelakkan komuniti tersebut daripada menghayati keindahan parti terbabit, kata seorang saintis politik.

Wong Chin Huat berkata, keadaan itu mungkin ‘menghampakan’ Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz yang mendakwa partinya kembali dalam radar pilihan bukan Islam, bukan lagi DAP.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Bachok mendakwa harapan orang bukan Islam terhadap DAP semakin retak, selepas kekalahan parti itu di semua lapan kerusi ditandingi pada PRN Sabah, bulan lalu.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Bercakap kepada FMT, Wong berkata kebarangkalian untuk PAS mendapat undi bukan Islam di luar kubu kuatnya Kelantan dan Terengganu adalah tinggi, begitu juga peluang memerintah Sabah.

Namun, beliau memberi amaran pendirian atau sikap ‘flip-flop’ Hadi mungkin menjejaskan peluang terbabit.

“Setiap Tahun Baharu Cina, TGHA (Hadi) akan memakai baju Cina dan menyiarayakan (menghebohkan) menantunya orang Cina. Kalau bukan musim CNY, beliau berbicara ancaman kafir kepada Muslim atau kafir sumber rasuah.

“Maka, malangnya bukan Islam biasa tidak dapat menghayati keindahan PAS ini dan akan menghampakan Nik Abduh,” kata penganalisis dari Universiti Sunway itu.

Hadi, Ahli Parlimen Marang sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan ancaman kafir, yang paling diingati menerusi ‘Amanat Haji Hadi’ pada April 1981.

Tiga tahun lalu, Hadi mencetuskan kontroversi apabila menuding jari kepada bukan Muslim dan bukan Bumiputera sebagai ‘perosak politik dan ekonomi negara’, selain mengaitkannya sebagai punca rasuah.

Mengulas lanjut, Wong berkata satu daripada faktor kekalahan teruk DAP di Sabah kerana pengundi Cina negeri itu mempunyai Warisan sebagai alternatif kerana membawa sentimen tempatan.

“Undi Cina mungkin berhijrah tetapi tidak akan sampai tumbang semua, sebab itu pemimpin DAP sangat khuathir dan berjanji percepatkan reformasi dalam enam bulan,” katanya merujuk pendirian parti itu selepas PRN Sabah.

Lau Zhe Wei.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat, sukar untuk melihat pergerakan undi daripada bukan Islam terutama Cina kepada PAS seperti dicanang Nik Abduh.

“Di Sabah mereka boleh ke Warisan tetapi di Semenanjung jika ‘putus asa’ dengan DAP, hendak sokong siapa?

“Kecuali ada gelombang dari MCA atau Gerakan, tetapi indikator sekarang tidak menunjukkan masyarakat Cina sudah boleh atau beralih kepada dua parti itu,” katanya.

Katanya, pengundi kelompok itu mungkin tidak mengundi pada PRU16 jika mahu memboikot DAP.

“Di Sabah ada pilihan iaitu Warisan, Semenanjung tiada…sebab itu pilihan yang ada pada pengundi Cina hari ini adalah untuk tidak keluar mengundi DAP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.