
Ketua DAP Bukit Tambun, Teoh Seang Hooi, berkata Pakatan Harapan sebenarnya sudah menerima ‘wake-up call’ pada 2023 apabila kerjasama dengan Barisan Nasional hanya memenangi 29 kerusi dalam PRN iaitu kurang berbanding 37 diperoleh PH pada 2018.
Beliau berkata, walaupun pengundi Cina di negeri itu masih menyokong parti, mereka tetap bimbang mengenai isu belum diselesaikan seperti keadilan untuk mendiang pembantu politik Teoh Beng Hock dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Lihat komen-komen lantang di Facebook, di mana warganet bertanya bila DAP akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pengiktirafan UEC yang telah lama diiktiraf Sabah dan Sarawak,” katanya kepada FMT.
Teoh mengakui cabaran keseimbangan politik dihadapi kepimpinan pusat DAP dan Anwar.
“Jika beliau (Anwar) mengumumkan (kerajaan) mengiktiraf UEC, pengundi Melayu akan menentang, begitu juga parti pembangkang seperti Perikatan Nasional.
“Tapi pada masa sama, saya fikir lebih baik kita lakukan sesuatu sebelum apa berlaku di Sabah turut terjadi di Semenanjung,” katanya.
Beliau menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ketua DAP Pulau Pinang, Steven Sim memacu reformasi, namun menegaskan perubahan memerlukan komitmen bersama jawatankuasa kepimpinan negeri.
Di peringkat akar umbi, Teoh, yang juga bendahari Jawatankuasa Penyelaras Parlimen DAP Batu Kawan berkata, jawatankuasa itu akan membentangkan satu usul pada pemilihan dwitahunan Ahad ini untuk menggesa PH Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas menjelang PRU akan datang.
“Bersedia untuk turun padang memahami sikap pengundi terhadap DAP — bukan sahaja Cina dan India, tetapi juga Melayu.”
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee, berkata kekalahan di Sabah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan ‘tempias’ ke Semenanjung, sekali gus menuntut usaha pemulihan segera.
Beliau mendakwa, pihak yang menentang parti sengaja menyebarkan naratif yang DAP semakin hilang sokongan teras, dan ada pengundi mula mempercayai dakwaan itu.
“Majoriti senyap masih belum bersuara, dan mereka akan berbuat demikian di peti undi. Itu yang membimbangkan,” katanya.
Seorang pemimpin kanan DAP yang enggan dikenali berkata, ada pemimpin terutama wakil masyarakat India dalam parti itu, semakin jauh daripada pengundi akar umbi dan terlalu bergantung pada sokongan Cina, tanpa membina kesetiaan jangka panjang pengundi India.
“Pemimpin ini sepatutnya membina pasukan yang benar-benar ikhlas dalam mengukuhkan sokongan pengundi India, kemudian merangka strategi untuk mengekalkan sokongan komuniti tersebut,” kata sumber itu kepada FMT.
DAP mentadbir Pulau Pinang sejak 2008, serta memainkan peranan penting dalam kerajaan Selangor dan Perak, di mana ia mempunyai pengaruh besar.
Bagaimanapun, kehadirannya terhad di negeri lain. Di Johor, parti itu memiliki 12 kerusi tetapi tidak menganggotai kerajaan negeri, manakala di Melaka dan Sarawak pengaruhnya kecil.
Lapan calonnya kalah dalam PRN Sabah, hilang enam kerusi kubu kuat dan akhirnya tiada wakil di DUN.
Di peringkat persekutuan, DAP memiliki 40 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti kedua terbesar selepas PAS yang mempunyai 43 kerusi.