
Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali ke dada media negara. UEC bakal menjadi kuasa menjurangkan lagi hubungan perkauman di negara kita. Sebagai seorang yang mempunyai tanggungjawab untuk mengharmonikan hubungan antara kaum, saya ingin mencadangkan isu UEC ini tidak lain hanya modal politik parti berasaskan kaum Cina dan parti politik Melayu sahaja.
Kedua-dua UEC atau seruan ‘memartabatkan bahasa Melayu’ bagi saya ‘political gimmick’ saja, tak lebih tak kurang. DAP sudah jelas menggimikkan UEC sebab baru lepas kalah di Sabah, baru nak mengaum. Dr Akmal Saleh pula seperti biasa hulubalang penentang parti Cina dalam apa jua isu. DAP nak tarik undi Cina dan Akmal nak tarik undi Melayu. Itu saja. Tak perlu nak banyak cerita. Baiklah, biar saya jelaskan kenapa saya katakan kedua-dua UEC dan ‘memartabatkan bahasa Melayu sebagai political gimmick’ dan tak ada keseriusan pun dari sudut aspek bina bangsa dan negara.
Mari kita lihat aspek UEC dulu. Apabila negara ini menjadi negara Malaysia, keputusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa perpaduan telah pun dipersetujui. Apa masalah UEC tidak mengikutinya? Mungkin UEC beranggap, ‘okeylah you nak bahasa Melayu kita pun ajar minimum bahasa Melayu cukuplah’. Maka mengaumlah geng Akmal bahawa bahasa Melayu UEC ‘cokia’ saja atau ‘hampeh’ dan tidak setaraf.
Saya pun pernah bersembang dengan anak-anak kawan-kawan Cina yang sekolah rendah, sorang pun tak reti jawab langsung soalan saya dalam bahasa Malaysia. Persoalan yang gagal difahami oleh UEC adalah bahasa Melayu bukan sekadar ‘language’ atau bahasa komunikasi mudah yang boleh ditiru oleh perisian komputer. Sekarang sudah ada keupayaan AI dan persian terjemahan yang boleh menterjemahkan apa-apa bahasa pun. Yang patut difahami adalah bahawa mempelajari bahasa sebenarnya merangkumi budaya dan sejarah bangsa atau kaum tersebut.
Maka itu adalah penting UEC mempelajai bukan sahaja aspek mekanikal sesuatu bahasa tetapi juga makna dan budayanya sekali. Ramai orang Cina yang saya kenal peringkat PhD pun tak tahu guna istilah ‘kami’ atau ‘kita’. Mereka hanya guna kami bagi menggantikan ganti nama ‘us’ dalam semua perbualan. Sama juga istilah ‘kamu’ pun ramai yang tak tahu konteks adab penggunaannya.
Yang kedua pula, untuk membina sesebuah negara maka perlu ada suatu naratif sama dan semangat kenegaraan ini harus ada pada suatu kurikulum sejarah yang sama. UEC jelas tidak mengikut silibus sekolah awam. Saya rasa silibus dan isi kandungan subjek sejarah sekolah awam perlu dirombak untuk memberi nafas baharu terhadap naratif yang memperjuangkan semua kaum dan semua agama di Malaysia dan tidak hanya fokus kepada satu kaum dan satu agama saja. Selepas itu, UEC perlu mengambil kurikulum yang sama. Tetapi UEC tidak langsung mahu berbuat demikian. Susahlah kita nak membina satu negara kalau begini.
Sekarang, mari kita fokus kepada seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Akmal tentang memartabatkan bahasa Malaysia. Soalannya mudah, adakah bahasa Malaysia dimartabatkan? Pertama, kenapa di universiti awam seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), sarang besar pelajar dan akademik Melayu, bahasa pengantarnya bahasa Inggeris? Di manakah aspek memartabatkan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu?
Kedua, kenapakah bila kita beli rumah atau beli kereta, perjanjian pinjaman masih dalam bahasa Inggeris? ‘What happened to bahasa Malaysia’ sebagai bahasa ilmu dan komersial?
Ketiga, kenapakan Sabah dan Sarawak tak kisah langsung kepada bahasa Malaysia dan dibiarkan sistem negeri masing-masing diutamakan bahasa Inggeris? Di mana martabat bahasa Malaysia? Dalam aspek kenaikan pangkat dan pengiktirafan ahli akademik seperti saya, kenapa markah kertas jurnal bahasa Malaysia kurang dari jurnal bahasa Inggeris? Kenapa juga ranking antarabangsa diutamakan lebih daripada ranking universiti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dan Brunei? Kenapa profesor-profesor rakyat Malaysia ada yang langsung tak ada jurnal atau buku dalam bahasa Malaysia? Bagi saya kalau seseorang ahli akademik yang bertugas di Malaysia patut ada sekurang-kurangnya 30% sumbangan ilmiah dalam bahasa Malaysia.
Jadi, bagi saya ahli politik yang menjerit bahasa Malaysia sebagai maruah hanya main politik saja sebab nak undi Melayu. Kemudian orang Cina pula dan parti politik mereka dua kali lima yang teguh dengan pendirian kecinaan mereka tak kisah langsung pun pasal budaya dan bahasa orang Melayu. Yang penting hanya nak meraih undi bukan Melayu. Sebab itu, ramai mereka tidak faham nilai Islam, adab Melayu dan ketamadunan Melayu.
Jadinya, kita akan cakap pasal UEC sampai kiamat tak akan selesai. Kalau Perikatan Nasional naik kerajaan pun dua kali lima, tak akan selesai. Kalau DAP jadi PM pun lagi tak selesai sebab orang Melayu akan berarak 100,000 menolak usaha ini atas dasar ‘maruah’ dan bukan realiti. ‘So, there is no end’ sebab tak parti Cina mahupun parti Melayu mahu perkara ini diselesaikan.
Sebabnya, kedua-dua belah pihak akan ketandusan modal untuk meraih undi masing masing. Kononnya DAP parti demokratik semua rakyat tetapi memperjuangkan bahasa dan budaya vernakular melebihi bahasa dan budaya kebangsaan. Kononnya Umno parti yang memperjuangkan semua Bumiputera dan rakyat Malaysia tetapi fokus hanya kepada bahasa dan budaya Melayu sambil beli rumah dan beli kereta dalam perjanjian bank dalam bahasa Inggeris.
Baguslah macam tu. Orang Melayu kata lebih khabar dari rupa. Selamatkan UEC dan martabatkanlah bahasa Malaysia. Hidup Umno dan hidup DAP. Saya sebagai rakyat cerdik malas nak tersepit mana-mana sebab buang masa saja.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.