Tak tepat dakwa PM tutup terus isu UEC, kata Pemuda PKR Johor

Tak tepat dakwa PM tutup terus isu UEC, kata Pemuda PKR Johor

Pemuda PKR Johor berkata Anwar Ibrahim ambil pendekatan berhati-hati, inklusif dan berimbang.

Faezuddin Puad
Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad berkata semua pihak khususnya orang politik perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi politik sempit. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Laporan mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ‘menolak’ atau ‘menutup terus’ isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah tidak tepat dan mengelirukan, kata Ketua Pemuda PKR Johor, Faezuddin Puad.

Faezuddin berkata, berdasarkan rakaman penuh kenyataan itu, jelas Anwar mengambil pendekatan berhati-hati, inklusif dan berimbang, dengan meletakkan asas kenegaraan terlebih dahulu sebelum memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya.

Katanya, isu UEC tidak wajar dilihat secara sempit atau emosional tetapi perlu dinilai dari sudut kepentingan jangka panjang.

“Universiti awam dan perkhidmatan awam bukan sekadar institusi akademik atau kerjaya, tetapi merupakan tapak penting pembinaan nusa bangsa, dasar awam dan identiti nasional. Justeru, penguasaan bahasa kebangsaan dan kefahaman sejarah Malaysia adalah keperluan asas yang tidak boleh dikompromi.

“Perbincangan mengenai UEC tidak harus berakhir dengan penolakan penuh. Perlu ambil pendekatan rekonsiliasi pendidikan iaitu elemen positif, baik daripada mana-mana jalur sistem peperiksaan termasuk UEC untuk diperkayakan dalam sistem pendidikan kebangsaan tanpa menjejaskan tunjang Perlembagaan Persekutuan dan pembinaan masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar berkata sebarang tuntutan menjurus sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa, haruslah mematuhi prinsip Perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.

UEC adalah kelayakan peringkat menengah bagi pelajar sekolah Cina persendirian dan ia tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke universiti awam.

Sementara itu, Faezuddin berkata semua pihak khususnya orang politik perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi politik sempit.

Katanya, isu UEC tidak wajar terus dijadikan modal perdebatan politik setiap kali pilihan raya tiba, sebaliknya dibincangkan secara matang dalam kerangka reformasi pendidikan nasional.

“Sokongan penuh diberikan terhadap pendirian perdana menteri yang menekankan keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selaras Perlembagaan Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kepentingan bahasa lain dalam konteks ilmu, ekonomi dan kemajuan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.