PAS Terengganu pilih pilihan raya negeri

PAS Terengganu pilih pilihan raya negeri

Parti itu menolak kerajaan campuran kerana UMNO mengalami masalah dalaman dan krisis akan berpanjangan jika BN terus memerintah Terengganu.

satiful-bahri-mamat_terangganu_pas_600

PETALING JAYA:
PAS Terengganu memilih menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan selepas berlaku krisis antara Sultan Terengganu dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman UMNO tetapi berpendirian jalan terbaik menyelesaikan krisis dengan mengadakan pilihan raya negeri.

Ini kerana, katanya, pelantikan Menteri Besar baharu menggantikan Ahmad Razif tidak mampu menyelesaikan masalah kerana Barisan Nasional (BN) tetap memerintah negeri itu.

“Ada pandangan jalan terbaik dengan Menteri Besar meletak jawatan dan diganti dengan orang lain. Tetapi, kita rasa tidak selesai juga masalah.

“Cara terbaik serah kepada rakyat untuk membuat pilihan dan buat pilihan raya semula. Itulah jalan terbaik untuk memberi rakyat membuat pilihan,” katanya, lapor HarakahDaily.net.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, pelucutan semua gelaran Ahmad Razif memberi gambaran hubungan Sultan Terenggan dengan Menteri Besar tidak baik.

Katanya, keadaan itu menyukarkan pentadbiran negeri dan urusan-urusan melibatkan rakyat dan konflik itu akan berpanjangan jika tidak diselesaikan.

Katanya, kerajaan campuran UMNO-PAS yang dicanang juga tidak mungkin berlaku kerana UMNO sendiri berhadapan dengan masalah dalaman.

Katanya, PAS lebih bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya negeri dan bersedia mengambil alih pentadbiran Terengganu daripada BN.

Semua gelaran yang dikurniakan Sultan Terengganu kepada Ahmad Razif ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.