Menurut laporan China Press, dua rakaman video tersebar di laman media sosial Facebook dan aplikasi WeChat baru-baru ini menunjukkan aksi seorang lelaki yang dipercayai ahli kongsi gelap ‘mengajar’ pemuda terbabit.
Dalam rakaman video selama 2 minit 12 saat yang dimuat naik China Press ke YouTube itu, pemuda berkenaan duduk di sebuah kerusi sambil kedua-dua kakinya diikat pada sebuah bangku konkrit.
Seorang lelaki berbaju putih muncul dan mempersoalkan pemuda itu sambil memukul tapak kakinya.
Lelaki berkenaan kemudiannya menyerahkan telefon bimbitnya kepada pemuda itu yang berkata: “Ayah…cukup, cukup sudah. Saya dah tahu, saya dah tahu. Saya dah ubah. Ayah tolong saya. Saya minta maaf, saya benar-benar insaf. Saya dah ubah.”
Lelaki itu terus memukul tapak kakinya sambil mengasaknya dengan soalan jika dia tahu siapa yang kerja bertungkus lumus untuk membayar hutangnya.
Pemuda itu pula berulang kali merayu serta meminta maaf sambil menegaskan dia sudah sedar akan kesilapannya dan sudah membuang tabiat itu.
Bagaimanapun, tidak diketahui bila dan lokasi video berbahasa Hokkien itu dirakamkan. China Press juga tidak menceritakan bagaimana mereka membuat kesimpulan bahawa lelaki yang memukul pemuda itu adalah ahli kongsi gelap.
https://www.youtube.com/watch?v=D0PemMEtdJU
